KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Abdulaziz, di sini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lebih istimewa, Amizar juga merupakan Exco pertama mengangkat sumpah di hadapan Sultan Pahang yang kembali bersemayam di Istana Abdulaziz pada 30 Januari lepas, setelah selesai menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Exco Pahang yang lain.
Amizar, 50, yang berasal dari Felda Chemomoi, Bentong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober 2023, dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menerusi titah mengingatkan semua barisan Exco kerajaan negeri menggalas tugas dengan baik demi kesejahteraan rakyat Pahang.
Baginda bertitah segala tanggungjawab perlu dilaksanakan dengan ikhlas selain turun padang melihat sendiri keadaan dan situasi rakyat.
"Majukan negeri Pahang, bantu rakyat miskin, tegakkan syiar Islam, mesti rajin turun padang, membantu dan membaca... saya seorang Sultan yang result oriented and people centric (berorientasikan hasil dan berpaksikan rakyat), segala bantuan rakyat mesti ditunaikan,” titah Al-Sultan Abdullah. - Bernama