JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim agar bidang pendidikan perlu diberikan tumpuan oleh pentadbiran kerajaan negeri dilihat sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, baginda bertitah demikian supaya bidang pendidikan dapat ditingkatkan bagi memastikan tiada anak Bangsa Johor yang keciciran dalam bidang pendidikan.
"Hasrat pertama Pemangku Sultan Johor adalah ingin melihat pendidikan anak Bangsa Johor dipertingkatkan agar tidak ada yang tercicir.
"Justeru, perkara ini menjadi tanggungjawab besar dan saya rasa terharu kerana diberi ruang dan peluang sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sebelum itu, Aznan yang juga ADUN Tanjung Surat dilantik sebagai Exco baharu dengan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor.
Aznan menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor digugurkan daripada senarai barisan Exco negeri.
Perkara itu diumumkan oleh Onn Hafiz dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman facebook miliknya pada Selasa.
Sementara itu, Aznan berkata, dia akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab di bawah portfolionya itu dengan sebaik mungkin.
Malah katanya, tempoh seminggu ini akan dimanfaatkannya untuk melihat agensi-agensi berkaitan portfolio selain meneliti segala perkara serta perancangan yang telah dibuat.
"Saya juga akan meneruskan apa (inisiatif) baik yang telah dilakukan sebelum ini dan melaksanakan tanggungjawab dengan sehabis baik,” katanya.