SHAH ALAM - Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukan bersifat kekal dan melibatkan kos pemeliharaan serta pemuliharaan yang tinggi.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana Kampung Baru Cina di Selangor wajar diangkat sebagai calon kerana kemungkinan boleh menjadi satu bentuk pembaziran sekiranya gagal memenuhi syarat-syarat penilaian ditetapkan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul HM berkata, proses pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan itu sendiri akan melibatkan modal yang sangat besar meskipun menjanjikan pulangan berlipat kali ganda sekiranya mendapat pengiktirafan kelak.
Bagaimanapun menurutnya, dalam soal pengiktirafan tapak warisan dunia UNESCO, ia bukan hanya melibatkan faktor kewangan tetapi juga membabitkan kebijaksanaan dan juga ketulenan.
"Sebab ini melibatkan pemeliharaan bukan hanya bangunan-bangunan, tapi orangnya.
"Apa yang nak ditonjolkan sebenarnya? budaya Malaysia atau budaya satu masyarakat yang kecil?," soalnya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 432 bertajuk 'Kampung baru: Kontroversi atau pengiktirafan UNESCO?' pada Selasa.
Program yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu turut menampilkan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-UIAM, Datuk Dr Ahmad Murad dan Ismail Adnan sebagai hos.
Pada masa sama, Sahul menambah, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan merupakan budaya Malaysia yang paling utama perlu ditonjolkan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada ia menjadi praktis utama penduduk di kawasan berkenaan demi memastikan status pengiktirafan kelak dapat dikekalkan.
"Budaya Malaysia itu apa? bahasanya mesti bahasa Melayu...agamanya tidak mengapa sebab kita mengiktiraf kebebasan beragama...jadi adakah bahasa negara (kebangsaan) dipraktikkan dalam lingkungan (kawasan) itu?
"Adakah itu juga menjadi salah satu faktor penilaian oleh UNESCO?...jadi statusnya boleh ditarik balik kalau tak dipelihara atau (syarat) tak dipenuhi. Ini sangat rumit.
Ujar beliau lagi, reaksi masyarakat pribumi terhadap pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia itu juga kemungkinan telah menjejaskan penilaian yang dibuat UNESCO.
"Saya fikir UNESCO juga akan menilai reaksi atau tindak balas masyarakat dalam negara itu.
"Misalnya isu Kampung Baru Cina dengan bantahan besar-besaran begini daripada masyarakat pribumi negara itu sendiri, adakah UNESCO bersedia ambil risiko besar untuk mengiktiraf? sebab ini juga akan melibatkan kebolehpercayaan jawatankuasa mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan kontroversi apabila dibantah ramai pihak termasuk pemimpin UMNO yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.