Bergolok-bergadai demi scammer durjana

Iklan
Gambar hiasan 123rf

BARU-BARU ini tular kisah seorang anak yang merayu di Facebook agar saudara-mara dan kenalan tidak lagi meminjamkan wang kepada ibunya gara-gara wanita itu telah terpedaya dengan scammer sehingga lesap lebih RM70,000.

Kerugian itu membabitkan wang daripada Amanah Saham Bumiputera, emas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan hutang daripada sanak saudara.

Iklan
Iklan

Apa yang lebih menyedihkan, kejadian itu hanya disedari apabila si ibu ingin meminjam duit daripada si anak, selepas berpuluh ribu wangnya ‘hangus’ diberikan kepada individu tidak dikenali.

Itu adalah sebahagian daripada kisah mangsa yang saban hari kita dengar dan baca akibat terperangkap dengan helah licik sang durjana.

Iklan

Agak menghairankan, bagaimana scammer begitu handal memanipulasi orang kita dengan pelbagai helah, hinggakan bukan sahaja warga emas, malah golongan profesional seperti doktor dan profesor juga menjadi mangsa.

Di Malaysia, jenayah penipuan dalam talian mencatatkan sebanyak 125,387 kes dengan nilai kerugian yang dialami mangsa lebih RM4.1 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2019.

Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes itu melibatkan jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, serta pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Berdasarkan kiraan sehingga tahun 2023, sebanyak 68 kes direkodkan sehari atau sekurang-kurangnya dua kes dalam sejam.

Mengulas mengenai punca individu terbabit mudah menjadi mangsa, Ramli berkata, ia disebabkan kurangnya pengetahuan dan pendedahan serta sikap tidak ambil peduli terhadap kes penipuan ini.

Selain itu jelasnya, sifat tamak dan mahu untung besar dalam masa yang singkat turut menjerat mangsa apatah lagi rata-rata scammer mengumpan mangsa dengan sentimen kewangan.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail berpandangan, sikap mangsa yang mudah dieksploitasi, cepat panik dan kurang pengetahuan tentang teknologi siber menjadi penyumbang kepada peningkatan kes penipuan dalam talian di negara ini.

Jelasnya, ia juga berpunca daripada penjenayah yang licik dalam memanipulasi psikologi mangsa.

Mangsa yang mudah panik kemudiannya akan mendedahkan butiran peribadi termasuk maklumat perbankan kepada scammer yang akhirnya menjerat diri mereka.

Satu persoalan yang sering kali disuarakan adalah mengapa scammer ini begitu sukar untuk dikesan walaupun saban hari ada sahaja kes baharu yang dilaporkan.

Anehnya, walaupun ada transaksi ke akaun scammer, tidak adakah cara untuk mengesan durjana yang ‘menelan’ duit mangsa-mangsanya?

Sampaikan ada yang sinis menyatakan, mudahnya pihak bank kesan duit mereka yang tersalah masuk ke akaun penyimpan, tapi akaun scammer tak boleh nak jejak.

Tiadakah mekanisme terbaik bagi membolehkan bank kesan scammer ini agar pihak berkuasa boleh bertindak cepat menangkap atas jenayah yang dilakukan. Setidak-tidaknya mangsa dapat semula sebahagian duit berkenaan daripada hilang semuanya.

Kerisauan terhadap scammer mungkin merupakan salah satu faktor hanya 2.69 juta rakyat Malaysia yang membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) meskipun sudah enam minggu sistem itu dilancarkan pada 2 Januari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengakui kebimbangan terhadap kerahsiaan butiran peribadi antara faktor yang menyumbang kepada pendaftaran PADU yang rendah dalam kalangan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Menurutnya, setakat 2 Februari lalu, hanya 33.3 peratus atau bersamaan 8,173 orang daripada 24,471 pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi melakukan pendaftaran PADU.

Ini adalah sebahagian daripada dilema yang dihadapi rakyat kita sekarang kerana mereka fobia dan takut menjadi mangsa scammer yang seterusnya.

* Farah Shazwani Ali ialah Wartawan Sinar Harian Nasional