JIKA ada cadangan untuk mencalonkan perkampungan Melayu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, salah satunya pastilah Kampong Bharu Kuala Lumpur.
Perkampungan Melayu terbesar di ibu kota ini diwartakan pada tahun 1900 iaitu kira-kira 50 tahun sebelum kampung baru Cina didirikan di negara ini. Keluasan asalnya ialah 90 hektar atau 172 padang bola sepak. Paling penting, ia sarat dengan warisan budaya dan sejarah.
Tanah tersebut adalah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).
Antara peristiwa utama di Kampong Bharu ialah Peristiwa 13 Mei 1969, yang telah mengajar kita akan pentingnya perpaduan antara kaum di Malaysia. Banjir besar di Kuala Lumpur pada 1971 juga turut meliputi kampung berkenaan.
Sesetengah rumah pula masih mengekalkan seni bina asal sejak 124 tahun lalu. Salah satunya ialah sebuah rumah tinggi berdinding papan, yang pernah menjadi lokasi penggambaran video muzik lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling, nyanyian duet anak jati Kampong Bharu sendiri iaitu Allahyarham Tan Sri SM Salim bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Hari ini Kampong Bharu terkenal dengan pelbagai mercu tanda termasuk Dewan Sultan Sulaiman, Masjid Jamek Kampong Bharu, Pasar Minggu dan Pintu Gerbang. Menara Berkembar Petronas juga berdiri megah di atas tapak asal kampung berkenaan.
Sungguhpun begitu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming lebih cenderung mencalonkan kampung baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO berbanding Kampong Bharu.
Sebagai pemimpin politik Cina, tindakan Kor Ming untuk kebaikan kaumnya sendiri itu amat mudah untuk difahami. Namun, pemimpin Melayu yang mengkritiknya dilihat tidak pula berbuat apa-apa.
Jarang sekali kita mendengar pemimpin-pemimpin Melayu sebelum ini bercakap tentang usaha mengangkat warisan perkampungan Melayu sehingga ke peringkat dunia seperti yang dilakukan Kor Ming. Yang sering diperdebatkan ialah isu jual tanah di Kampong Bharu untuk tujuan pembangunan.
Malah, jangan terkejut jika Kampong Bharu akan senasib dengan Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum di Kuala Lumpur yang sudah terlepas ke tangan pemaju.
Justeru, inilah masanya untuk pemimpin kita memainkan peranan lebih besar dalam memulihara warisan perkampungan Melayu di negara ini. Kalau bukan mereka, siapa lagi?