Sejak penubuhannya pada 14 Februari 1973, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah memainkan peranan yang penting dalam memajukan sektor pertanian negara.
Dengan 51 tahun pengalaman yang pelbagai serta mencabar, LPP kini menghadapi fasa baharu yang menuntut perubahan paradigma bagi menyesuaikan dengan kemajuan teknologi serta perubahan zaman.
LPP telah membuktikan keberkesanan peranannya dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat petani melalui rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) yang merangkumi 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), 294 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mana LPP berfungsi sebagai Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP), agensi pembangunan dan agensi yang terlibat dalam pengurusan PP.
Setakat ini, terdapat 965,195 orang peladang serta 2,595 orang anggota LPP manakala 3,532 orang anggota lantikan PP di seluruh negara.
Dengan melibatkan hampir satu juta peladang dan anggota LPP/PP, peranan mereka dalam pembangunan dan pengurusan sektor pertanian amat penting.
Sebagai peneraju dalam sektor pertanian, LPP meletakkan komitmen yang tinggi dalam menyokong aspirasi sektor agro makanan negara. LPP terus memainkan peranan untuk menjadikan pergerakan PP lebih produktif dan berdaya saing dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan di masa depan, LPP telah menyusun pelan dan strategi untuk menghadapinya.
LPP menyedari bahawa sektor agromakanan akan menghadapi pelbagai ancaman seperti pandemik, perubahan iklim, dan peningkatan kos input pertanian.
Justeru, untuk mengatasi cabaran ini, LPP mengambil pendekatan inovatif dengan menerapkan teknologi tinggi dalam pengeluaran pertanian, pendigitalan dalam pemasaran, dan mendorong penyertaan generasi muda.
Dalam usaha memastikan keterjaminan makanan negara, LPP telah berjaya memberi tumpuan kepada peningkatan tata kelola yang baik, kecekapan pengurusan projek, dan profesionalisme dalam pengurusan kewangan.
Dengan pendekatan holistik yang telah dilaksanakan, LPP yakin bahawa dapat mencapai matlamat sebagai peneraju dalam sektor agromakanan negara.
Malah, Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim sendiri telah menegaskan bahawa usaha itu adalah untuk memastikan kesejahteraan peladang, penternak dan nelayan diberikan perhatian utama.
Ini kerana, golongan tersebut merupakan tulang belakang kepada jaminan bekalan makanan yang mencukupi bagi rakyat Malaysia.
"Peladang dan institusi peladang perlu dinamik dalam menempuhi cabaran semasa agar terus lestari menerajui sektor agromakanan. Sesungguhnya peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang perlu dibela."
Mereka adalah rakyat Malaysia MADANI yang berkorban dan berjuang demi memastikan kestabilan negara. Dalam erti kata lain, mereka menjamin ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi serta harapan negara pada masa depan,” katanya.
LPP dan cabaran masa depan
Sesungguhnya, LPP amat memahami bahawa sektor agromakanan sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman pada masa depan dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada wabak penyakit, ketidakseimbangan ekonomi dan politik, peningkatan populasi penduduk, kekurangan sumber tanah dan air, perubahan iklim dan sebagainya.
Malah, perubahan teknologi, digitalisasi dalam pengeluaran, komunikasi dan perubahan corak urus niaga yang kompleks turut diberikan perhatian oleh LPP di samping peningkatan kos input serta penurunan produktiviti pertanian sama ada di peringkat domestik dan global.
LPP telah membuat perancangan dan hala tuju strategik dalam melaksanakan perubahan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan mencukupi, boleh diakses oleh semua rakyat di samping memberi pulangan manfaat besar kepada para peladang.
Pada masa sama, LPP turut menyuntik nafas baru kepada sektor agromakanan negara dengan meningkatkan pelaksanaan yang merangkumi;
- Teknologi tinggi;
- Smart-precision farming;
- Menggunapakai imput sumber mentah negara;
- Pendigitalan pengeluaran;
Mekanisasi automasi;
- Pemasaran dalam talian (online);
- Transaksi tanpa tunai (Cashless);
- Pengurangan import;
- Penggunaan teknologi dan inovasi (Artificial Intelligence, Robotic Process Automation, Internet of Things).
- Kematangan
Dalam melangkah ke usia kematangan ini, LPP sentiasa fokus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan jujur, telus dan ikhlas serta dengan penuh integriti bagi mencapai matlamat ditetapkan.
Malah, LPP turut bersikap profesional, progresif, kreatif, inovatif, berketrampilan serta bijaksana dalam menjayakan semua dasar dan program-program yang telah dirancang.
Dengan inisiatif-inisiatif yang digubal dan strategi yang diatur, LPP akan terus berjaya menelusuri arus pembangunan dan cabaran mendatang bagi mewujudkan masyarakat peladang yang berdikari, makmur dan progresif yang dapat membantu negara menjadi aman, sejahtera dan makmur.
Usaha itu juga bagi mencapai visi LPP sebagai"Peneraju Kecemerlangan Pertubuhan Peladang Bagi Meningkatkan Sumbangan Berkesan Dalam Sektor Agromakanan Negara”.
Seperti mana yang diungkapkan Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, Pertubuhan Peladang dan Peladang perlu mempunyai visi dan misi yang besar selaras dengan kematangan dan pengalaman yang dimiliki oleh LPP sejak 51 tahun ditubuhkan.
"Dalam memasuki usia 51 tahun, kedua-dua perkara penting iaitu Pertubuhan Peladang dan Peladang perlu mempunyai visi dan misi yang lebih besar, dan melalui penjelajahan fikiran dalam membina, membangunkan Pertubuhan Peladang dan peladang yang lebih baik.” ujarnya.