GEORGE TOWN - Lima motosikal yang diletakkan di kawasan parkir Blok 90 Pangsapuri Kota Emas, Jelutong, di sini terbakar pada Selasa malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.44 malam.
Iklan
Iklan
"Kebakaran melibatkan lima motosikal dengan tiga daripadanya belum dikenal pasti, musnah 90 peratus.
"Dua lagi motosikal jenis Honda EX5 dan SYM terbakar lima peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Perak Lane dan Paya Terubong, berjaya memadam sepenuhnya kebakaran dalam tempoh sejam.
Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Operasi tamat pada 11.03 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama