MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mematahkan sindiket penyeludupan kereta mewah, minuman keras dan rokok membabitkan jumlah rampasan RM5.84 juta dalam enam serbuan berasingan sepanjang bulan lalu.
Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, tiga individu termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50-an dicekup dalam serbuan yang diadakan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.
Menurutnya, rampasan terbesar membabitkan jumlah 3.8 juta barang rokok pelbagai jenama bernilai RM2.8 juta di sebuah gudang di kawasan perindustrian Ulu Tiram, Johor pada 29 Januari lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua rokok itu dibalut dengan plastik hitam yang disembunyi dalam beberapa bilik khas di gudang terbabit.
"Serbuan pada 28 Januari pula kita berjaya merampas 2.7 juta batang rokok putih bernilai RM2.2 juta dari sebuah lori di Jalan Kluang-Kota Tinggi di Kluang, Johor.
"Seorang pemandu berusia 50-an ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan dagangan rokok berkenaan," katanya ketika sidang akhbar di pejabat JKDM di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.
Jelasnya, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan berjaya mengesan sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera berwarna putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran melibatkan cukai berjumlah RM286,000.
"Mereka bertindak menutup kenderaan mewah itu dengan kain dan diletakkan di sebuah kediaman berpagar di Jasin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Namun pemilik kereta terbabit tidak dapat dikesan di kediaman berkenaan dan kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya lagi.