KOTA BHARU - Seramai 15 lelaki ditahan di sebuah kedai makan selepas dipercayai terlibat dengan judi laga ayam melalui siaran langsung di televisyen dan telefon di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok pada Selasa.
Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, kesemua suspek dikatakan membuat pertaruhan serendah RM2 hingga RM20 bagi setiap perlawanan yang disiarkan setiap hari bermula jam 3 hingga 5 petang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum serbuan dilakukan sempena Op Limau itu, pihaknya telah membuat pemerhatian selama 15 minit terhadap kedai makan yang dimiliki seorang lelaki berusia 74 tahun.
"Kami dapati terdapat beberapa lelaki berusia di antara 25 hingga 74 tahun sedang berkumpul dan dipercayai sedang menonton siaran langsung laga ayam.
"Mereka sedang leka duduk di atas kerusi kedai disyaki sedang bermain pertaruhan judi laga ayam," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di kedai tersebut telah menjumpai sebuah televisyen bersama alat kawalan jauh, seunit decoder dan sebuah buku yang digunakan untuk merekodkan pertaruhan itu.
Ujarnya, sejumlah wang tunai bernilai RM628 turut ditemui.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu untuk siasatan lanjut.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.
"Orang awam dinasihatkan supaya jangan melibatkan diri dalam perjudian atau pertaruhan haram dan jika ada sebarang maklumat berkaitan kegiatan tersebut sila berhubung dengan pihak kami di talian 09-7455555," katanya