TUDM rancang ganti Nuri

Iklan
Ackbal Abdul Samad - FOTO ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini dalam perancangan menggantikan Nuri dengan helikopter baharu dan kini dalam fasa menjustifikasikan helikopter sesuai bagi tujuan itu.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, beberapa jenis helikopter sudah dikenal pasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, helikopter itu terlalu uzur untuk beroperasi malah kos penyelenggaraan juga mahal.

"Jika ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri akan memakan masa yang lama iaitu di antara sembilan bulan ke 18 bulan bagi memperoleh alat ganti dan komponen," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 di sini hari ini.

Iklan

Ackbal berkata, peruntukan TUDM ketika ini berada di tahap yang ‘selesa’ dan pihaknya sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.

"TUDM mengutamakan perbelanjaan berhemah dan meminimumkan majlis keraian yang dirasakan tidak perlu,” katanya.

Helikopter Nuri - Foto sumber internet

Iklan

Difahamkan 12 helikopter Nuri milik TUDM dihentikan operasinya daripada menyertai pelbagai misi.

Pesawat Nuri yang berusia lebih 50 tahun sebelum ini beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1991.

Antaranya terhempas pada 2010 di Sintok Kedah, pada 2016 di Tawau, Sabah dan Butterwoth, Pulau Pinang, manakala yang terbaru pesawat itu melakukan pendaratan cemas pada Ogos tahun lalu di Kem Gubir, Alor Setar.

Dalam perkembangan berasingan, Ackbal memaklumkan fokus utama TUDM kini berteraskan lapan keutamaan untuk mendepani cabaran masa hadapan.

"Ia termasuk mengutamakan perbelanjaan berhemah, struktur dan pembangunan sumber manusia, pemantapan keupayaan selenggaran TUDM serta kerjasama industri pertahanan.

"Kita juga mahu memperkasakan keupayaan operasi TUDM, pelan pembangunan keupayaan TUDM 2055 menyusuli pelan Air Force Next Generation serta budaya kerja," katanya.

Ackbal juga mahu warga TUDM mempunyai daya pemikiran 'disruptive innovation' dalam usaha menambah baik proses kerja.

"Budaya kerja 'self explanatory' yang diberi nama 'The Chief of Airforce Ground Rules' perlu menjadi panduan dan dipatuhi oleh semua warga TUDM," katanya.