KLANG - Mayat seorang dari dua mangsa tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk urusan selanjutnya.
Mayat mendiang Roshaan Singh Raina, 43, dibawa keluar dengan menggunakan sebuah kenderaan pengurusan jenazah milik sebuah syarikat swasta dengan diiringi dua anggota polis trafik serta sebuah kenderaan waris mendiang kira-kira jam 3 petang.
Mayat akan dibawa ke Sunway Lenang, Kota Tinggi, Johor Bahru untuk urusan pengebumian pada Khamis, manakala mayat Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, belum dituntut waris sehingga jam 3.30 petang ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dilaporkan berkata, siasatan pihak polis melibatkan bedah siasat dan pengecaman mayat dua mangsa telah selesai dijalankan.
Menurutnya, juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel Yang terhempas itu juga disahkan adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 43.
"Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah daripada pelbagai kecederaan akibat pesawat terhempas dan hasil pemeriksaan cap jari terhadap dua mangsa (mengesahkan) mangsa adalah Daniel dan Roshaan.
"Punca nahas masih dalam siasatan BSKU jadi pihak polis akan menyerahkan mangsa kepada waris dalam masa terdekat selepas melalui beberapa prosedur pihak Jabatan Forensik," katanya.
S Vijaya Rao ditemui pemberita selepas proses bedah siasat dan pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini selesai dijalankan pada Rabu.