Polis tahan dua lelaki, rampas alatan pecah rumah

Iklan
Muhamad Zaki (dua, kanan) menunjukkan pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang pada Isnin.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 39 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Subaru yang dinaiki dipandu dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.30 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan yang dibuat semasa Op Taring Wawasan itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol angin berserta kelopak di bahagian bawah tempat duduk pemandu.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg yang dipakai oleh salah seorang suspek telah menjumpai pelbagai jenis dadah disyaki ecstasy.

Iklan

"Pemeriksaan di but kereta pula telah menjumpai pelbagai jenis barangan kemas, telefon bimbit, satu bilah pedang dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Antara barang rampasan seperti barangan kemas yang disyaki hasil pecah rumah dilakukan oleh suspek.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 39 tahun itu mengakui barang yang dirampas adalah miliknya dan digunakan untuk tujuan pecah rumah.

Iklan

Ujarnya, suspek juga mengaku barang rampasan seperti telefon bimbit, laptop dan barang kemas perhiasan yang disyaki emas adalah hasil pecah rumah.

"Bagaimanapun tiada pengakuan yang dibuat oleh suspek di kawasan mana pecah rumah dilakukan setakat ini.

"Suspek juga memberitahu rakannya yang berusia 33 tahun itu hanya mengikutnya untuk ke Golok, Thailand dan tiada pengetahuan berkenaan dengan barang kes yang dirampas," katanya.

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-duanya positif methamphetamine.

"Suspek berusia 39 tahun didapati mempunyai 15 rekod jenayah, tiga dadah manakala rakannya pula satu rekod jenayah dan empat dadah," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.