Jabatan Penjara laksana sistem E-Belanja untuk banduan

Iklan
Nordin (dua kiri) hadir pada majlis Jalinan Kasih sempena Tahun Baharu Cina dan Pelancaran E-Belanja.

SUNGAI BULOH - Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan sistem pembelian barang keperluan secara dalam talian E-Belanja untuk prospek (banduan).

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, inisiatif E-Belanja yang dilaksanakan di Penjara Kawasan Zon Tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan itu dilihat sebagai satu alternatif pembelian boleh dilakukan oleh keluarga terutama mereka yang sukar melawat ahli keluarga di penjara kerana jarak yang jauh.

Iklan
Iklan

"Melalui pembelian dalam talian ini, ahli keluarga yang tidak dapat berjumpa secara langsung dapat memberikan sokongan kepada mereka yang berada dalam penjara dengan lebih mudah dan efisien.

"Malah dengan peluang membeli barang keperluan melalui E-Belanja, ahli keluarga dapat memastikan bahawa keperluan asas dapat dipenuhi tanpa perlu bergantung kepada lawatan secara langsung," katanya dalam ucapan Program Jalinan Kasih sempena Tahun Baharu Cina dan Pelancaran E-Belanja.

Iklan

Turut hadir Komisioner Penjara, Ajidin Salleh, Pengarah Pengurusan Banduan, Timbalan Komisioner Penjara Aminon bin Adnan, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pengarah Urusan Gerbang Sejahtera Sdn Bhd, Zolkiflee Mohamood.

Nordin berkata,langkah itu adalah contoh yang baik tentang bagaimana teknologi dapat digunakan untuk memperkuatkan lagi hubungan kekeluargaan dan membantu individu dalam proses pemulihan dan pembetulan diri.

Iklan

"Kemudahan E-Belanja ini juga tidak hanya bermanfaat kepada keluarga tempatan tetapi juga membuka peluang kepada keluarga dari luar negara termasuk warga negara asing untuk menyokong ahli keluarga mereka yang berada dalam penjara di Malaysia," katanya.

Beliau berharap semua prospek dapat kembali kepada pangkuan keluarga mereka dan memulakan kehidupan mereka dengan lebih baik apabila mereka dibebaskan kelak.

"Kejayaan setiap prospek dalam pemulihan dan reintegrasi ke dalam masyarakat bergantung kepada sokongan berterusan dari ahli keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya," ujarnya.