IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia melakukan semakan semula terhadap modul latihan untuk rekrut baharu pegawai dan anggota seperti dicadangkan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu dilihat baik dalam usaha meningkatkan integriti dalam pasukan susulan peningkatan isu disiplin dan salah laku membabitkan pegawai dan anggota kebelakangan ini.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu perlu melalui kajian mendalam memandangkan modul latihan serta pengambilan pelatih polis sedia ada telah disusun dengan tapisan yang ketat.
"Modul yang ada sekarang ini memang dah ada ciri dan kriteria yang sepatutnya bagi satu-satu pengambilan sama ada untuk menjadi konstabel, kadet sarjan atau inspektor.
"Selain perlu menjalani pemeriksaan fizikal dan kecergasan, mereka juga menjalani ujian SPiER (Sistem Pemprofilan Rekrutmen) yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), temuduga bersemuka dan harus melepasi tapisan keselamatan.
"Sistem tapisannya berlapis-lapis, malah dalam latihan turut dimasukkan modul keagamaan bagi yang muslim dan moral untuk yang bukan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim.
RESPA melalui Presidennya, Datuk Meor Che Hussein dilapor berkata, modul latihan untuk rekrut baharu pegawai dan anggota polis wajar ditambah baik dengan memberi lebih penekanan kepada pengukuhan mental, kerohanian, disiplin dan integriti.
Dalam perkembangan sama, Razarudin menegaskan, tiada toleransi diberikan terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes pelanggaran undang-undang.
"Kita tidak akan berat sebelah atau memenangi pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan. Siasatan dan tindakan tetap diambil," katanya.
Ujian Mara Lasak edisi kali ini disertai 21 pasukan membabitkan 798 pegawai dan anggota daripada pelbagai elemen KDNKA termasuk pasukan jemputan bagi menamatkan cabaran larian sejauh 20 kilometer.
Unit Tindakan Khas (UTK) muncul juara dengan catatan masa 2 jam 38 minit dan 38 saat diikuti tempat kedua, Batalion 5 PGA Briged Tengah, Simpang Renggam dan Batalion 1 PGA Briged Utara, Ulu Kinta (ketiga).