ALOR GAJAH - Seorang wanita mengalami detik cemas ketika cuba disamun oleh dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pedang samurai di hadapan sebuah dobi di Masjid Tanah, di sini, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian jam 6.17 pagi itu, mangsa yang berusia 36 tahun sedang memandu kereta Proton Saga telah dihalang sebuah kereta dinaiki suspek sebelum kedua-dua lelaki itu keluar dari kenderaan lalu menghampiri kereta mangsa.
Ketua Polis Negeri, Datuk Zainol Samah berkata, suspek yang memegang pedang samurai telah bertindak memecahkan tingkap hadapan, tingkap kiri dan kanan kereta mangsa sebelum senjata itu mengenai tangannya.
"Pengadu kemudian mengundurkan keretanya dan terlanggar kenderaan lain yang berada di tepi jalan.
"Selepas insiden itu pengadu segera ke Balai Polis Masjid Tanah, dan hasil siasatan pengadu tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini
"Mangsa mengalami kecederaan di tangan ketika suspek memecah cermin tingkap kenderaannya menggunakan senjata itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dirujuk ke Hospital Besar Melaka mendapatkan rawatan lanjut.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 393 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dipohon untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Polis ditalian 06-5562222," ujarnya lagi.
Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat yang memaparkan mangsa diserang dua lelaki namun sempat melarikan diri.
Berdasarkan rakaman itu, dua suspek cuba membuka pintu belakang kereta mangsa namun mangsa dapat melarikan diri sebelum mereka beredar menaiki sebuah kenderaan lain yang menunggu di bahu jalan.