WASHINGTON - Timbalan wakil tetap Afrika Selatan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Marthinus van Schalkwyk pada Selasa menyuarakan kebimbangan berhubung serangan Israel ke atas Rafah yang menempatkan lebih sejuta orang yang mencari tempat perlindungan.
"Pengumuman operasi ketenteraan yang diperluaskan ke Rafah (kini telah bertukar menjadi kem pelarian) menyebabkan lebih ramai penduduk Palestin diusir dan mengancam mata pencarian yang hampir sudah tidak wujud.
"Tindakan ini sama sekali mengabaikan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dikeluarkan pada 26 Januari,” kata Schalkwyk dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa, lapor Agensi Anadolu.
Beliau menambah bahawa tindakan Israel itu secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, terutamanya dalam melindungi orang awam yang terperangkap dalam peperangan serta sengaja menafikan akses kepada bantuan kemanusiaan.
Kenyataan Schalkwyk dibuat selepas Afrika Selatan meminta ICJ menilai segera niat Israel untuk meluaskan kehadiran tenteranya di Rafah, mendesak untuk mempertimbangkan sama ada mahkamah itu perlu menggunakan kuasanya bagi menghalang lebih banyak pelanggaran hak Palestin.
Pada Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan kes di mahkamah PBB, menuduh Israel gagal mematuhi komitmennya di bawah Konvensyen Genosid 1948.
ICJ menerusi keputusan interim pada Januari lalu berkata, dakwaan Afrika Selatan adalah munasabah.
Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Israel untuk melaksanakan langkah sementara termasuk menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah menjamin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk di Gaza. - Bernama