Tiada penutupan ladang diusahakan Risda, Jakoa di Pahang - Syed Ibrahim

Iklan
Syed Ibrahim mempengerusikan mesyuarat bersama wakil agensi terlibat di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan peserta projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) dan Tanaman Semula Komersial (TSK) di seluruh Pahang akan terus menikmati hasil seperti biasa sepanjang tempoh rundingan pengurusan mekanisme pembayaran cukai bagi tanah yang diusaha Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, seramai 9,354 peserta termasuk Orang Asli yang terlibat dengan 69 projek TSK dan 115 projek TSB di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua peserta terlibat tidak perlu bimbang kerana ladang getah atau kelapa sawit yang diusahakan tidak ditutup kerana kerajaan Pahang tidak akan bertindak sedemikian.

"Kita (kerajaan negeri) sedang melaksanakan beberapa tindakan ke atas tanah terlibat bagi memudahkan proses pembayaran cukai terhadap tanah-tanah diusahakan agensi itu yang berkeluasan 17,012 hektar di seluruh Pahang.

Iklan

"Jadi tidak timbul isu ladang yang memberikan hasil kepada rakyat ini akan ditutup sebaliknya Risda dan Jakoa boleh meneruskan operasi dan menuai hasil supaya kebajikan kepada peserta dapat dilunaskan seperti biasa," katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Syed Ibrahim berkata, penjelasan itu bagi menjawab kekeliruan yang mungkin timbul susulan pelaksanaan proses rundingan cukai tanah melibatkan tanah dua agensi itu ketika ini.

Iklan

"Langkah dilaksanakan kerajaan negeri ini bertujuan supaya cukai tanah bagi tanah-tanah diusahakan individu dan agensi di negeri ini dapat dikutip bagi mengelak ketirisan hasil.

"Proses itu akan mengambil masa melalui proses perbincangan dan perundingan serta kerja-kerja pengukuran," jelasnya.

Tambah beliau, proses sama telah diambil dan diselesaikan bersama Felda, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Felcra..

"Proses ini tidak boleh diselesai melibatkan semua agensi sekaligus, jadi kali ini proses sama untuk Risda dan Jakoa pula," katanya.