TENOM - Pengadu dalam kes membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew, menjelaskan bahawa dia sedih kerana tersalah orang untuk mengadu masalah rumahtangga.
Saksi pendakwaan yang kesembilan memberitahu perkara itu ketika diminta menjelaskan ayat yang ada dalam tangkap layar aplikasi WhatsApp yang dibacanya di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Rabu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dalam pemeriksaan utamanya meminta pengadu menjelaskan ayat 'Sebenarnya saya sedih'.
"Saya sedih sebab saya anggap Ebit Lew adalah orang yang salah tempat saya mengadu," jelasnya.
Nor Azizah kemudian bertanya lagi kepada wanita tersebut dia mengadu mengenai apa.
"Masalah rumah tangga," katanya.
Sementara itu, pada prosiding yang disambung pada sebelah petang, pengadu diminta untuk menerangkan tangkap layar mengenai gambar keluarga yang dihantar menerusi perbualan WhatsApp bersama Ebit Lew.
Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin bertanyakan adakah gambar tersebut yang diberikan kepada Ebit Lew menerusi keterangannya sebelum ini yang menyatakan pendakwah itu ada meminta gambar keluarga kepadanya.
"Tidak, Ebit Lew meminta gambar itu pada 4 Mac 2021. Gambar itu saya berikan sebab malam hari itu selepas berbuka puasa Ebit WhatsApp saya dan saya bagi tahu pada dia hari itu dia baru berbuka puasa bersama isteri dan anak-anak beliau.
"Jadi saya cakap dengan dia, saya tengok dia dan isteri OK saja nampak bahagia. Jadi jangan WhatsApp saya sebab itu masa ini saya bagi gambar keluarga saya dan minta doakan," jelas pengadu di mahkamah.
Sebelum itu, dalam perbicaraan yang berlangsung hari kedua pada prosiding kali ini sebanyak lima gambar tangkap layar menunjukkan alat sulit lelaki dipaparkan di mahkamah.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Nor Azizah dan Analia sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit diwakili barisan peguamnya, Datuk Ram Singh, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.