SHAH ALAM - UMNO mengambil pendekatan sama untuk tidak terus memanjangkan polemik berkaitan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu bersedia bekerjasama rapat dengan kementerian diterajui Kor Ming bagi membantu agenda mengatasi isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain.
"Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
"Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.
"Isu-isu yang disebutkan ini melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan enggan memanjangkan isu cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurutnya, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.
Jelas beliau, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berharap agar sebarang isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan pada masa akan datang.
"Cadangan yang boleh mencetuskan polemik sepatutnya dibincangkan secara tertutup oleh anggota Kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan," katanya.