Tak dapat duit beli dadah punca penagih mengamuk, pukul ibu

Iklan
Mohamed Usuf

GEORGE TOWN - Polis mengesahkan kejadian seorang penagih yang mengamuk dengan memukul ibunya menggunakan rotan di sebuah rumah flat di Jalan Gangsa pada malam Selasa adalah disebabkan gagal mendapat wang untuk membeli dadah.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek bertindak agresif selepas ibunya yang berusia lingkungan 70-an itu tidak memberikan wang seperti yang diminta suspek.

Iklan
Iklan

"Suspek bertindak memukul ibunya dan mengugut untuk meletupkan tiga tong gas memasak di kediaman mereka selepas ibunya yang bekerja sebagai peniaga gerai makan enggan memberi sejumlah wang seperti yang diminta.

"Suspek dipercayai meminta wang tersebut untuk membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Iklan

Kata beliau, ibu suspek mengalami luka kecil dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Warga emas tersebut mengalami kecederaan namun tidak serius. Dia bagaimanapun masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Iklan

"Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki mengamuk dengan memukul ibunya menggunakan rotan di sebuah rumah flat ditahan sepasukan polis pada malam Selasa.

Suspek berusia 45 tahun itu ditahan selepas polis berjaya memujuknya selama lebih tiga jam.

Selain memukul ibunya, lelaki tersebut turut mengugut untuk meletupkan tiga tong gas memasak di kediamannya itu.

Suspek pada mulanya dipujuk sepasukan polis dan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian namun gagal.

Suspek bagaimanapun berjaya dipujuk oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake yang tiba di lokasi selepas dua jam kejadian berkenaan.