SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan menarik balik hasrat untuk membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkait video parodi dilakukan yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Ketuanya, Mohd Hasbie Muda berkata, pihaknya tetap dengan tindakan tersebut walaupun menerima permohonan maaf dibuat Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43.
"Permohonan maaf diterima. Tetapi laporan polis tetap diteruskan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) dilaporkan akan membuat laporan polis secara serentak seluruh Malaysia pada jam 3 petang, Jumaat ini.
Ia susulan video yang dimuat naik oleh Dd Chronicle di Youtube yang mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana didakwa mempersendakan agama serta menghina mahkamah.
Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Bagaimanapun, pada Rabu pempengaruh tersebut tampil memberi penjelasan dan mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.
Justeru, atas kesedaran tersebut dia bertindak memadam video berkenaan demi menghormati undang-undang.
Dd Chronicle juga bersikap terbuka menerima sebarang tindakan yang bakal diambil, namun berharap laporan dilakukan atas dasar menjaga agama dan perlembagaan, bukan kerana musuh politik.