TIDAK sampai setahun selepas tragedi pesawat ringan terhempas yang mengorbankan 10 nyawa di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam pada Ogos 2023, satu lagi kejadian sama berlaku di Kampung Tok Muda di Kapar pada Selasa lalu.
Nahas kali ini membabitkan pesawat ringan model BK160 Gabriel kendalian Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan nahas ini melibatkan dua mangsa terdiri daripada juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter, di kawasan ladang kelapa sawit.
Sementara itu, laporan awal Kementerian Pengangkutan berkaitan pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina mendapati punca tragedi tersebut adalah daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.
Laporan awal yang mengandungi 26 muka surat itu mendapati pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan, juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.
Pesawat berkenaan bagaimanapun tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.
Kejadian berlaku pada waktu siang dengan jarak penglihatan yang jelas sehingga lebih 10 kilometer dan keadaan meteorologi yang baik. Sementara itu, tiada objek asing, bulu burung, sisa unggas atau mana-mana bahan ditemui pada mana-mana struktur rangka pesawat.
Laporan awal menjelaskan siasatan turut mendapati alat penghidup, Unit Hidromekanikal (HMU) dan kotak gear, semuanya sudah tercabut.
Mungkin hasil laporan awal ini terlalu teknikal untuk difahami namun kejadian pesawat ringan terhempas berlaku kurang setahun perlu diambil perhatian serius oleh Kementerian Pengangkutan supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
Salam takziah buat semua keluarga mangsa nahas yang terlibat. Semoga ada sinar baharu dalam dunia penerbangan negara.