SHAH ALAM - Syarikat pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyambut baik pengenalan Beras Putih Malaysia Madani oleh kerajaan yang dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac depan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, meskipun pihaknya masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung perkara itu, namun penetapan harga beras itu pada harga siling RM30 bagi kampit 10 kilogram dianggap sebagai munasabah selain dapat memberi pulangan keuntungan kepada peruncit.
Iklan
Iklan
"Makluman kita di pasar raya belum dapat, tetapi kami setuju sebetulnya.
"Saya sudah banyak kali cadangkan mengenai beras Super Spesial Tempatan (SST) RM26, 10 kilogram ini. Disebabkan tiada bekalan di pasaran, kita selaraskan dan naikkan kepada RM30 atau RM32, sekurang-kurangnya adalah margin untung, barulah barang (beras) akan mudah diperoleh,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Ameer Ali berkata, seiring dengan pengumuman berkenaan, beliau berharap kerajaan dapat memastikan bekalan beras tersebut mencukupi untuk jualan di pasaran nanti.
"Dengan kenaikan harga ini, kita harap akan dapat barang yang mencukupi, kerajaan kena pastikan beras ini cukup di pasaran, itu yang kita mahukan.
"Jangan nanti barang tiada di pasaran pula,” tambahnya lagi.