HULU TERENGGANU - Kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan menyebabkan pengguna di daerah ini tiada pilihan dan perlu memburu jualan murah yang diadakan bagi mendapatkan makanan ruji tersebut.
Rata-rata orang ramai ketika ditemui mendakwa mereka sukar mendapat bekalan beras tempatan dan terpaksa beralih arah membeli beras import yang dijual pada harga lebih mahal.
Tinjauan di sebuah pasar raya di sekitar daerah ini mendapati kebanyakan beras dijual adalah beras import yang dikenakan harga antara RM40 hingga RM60 bagi 10 kilogram.
Peniaga, Siti Hajar Mohamad, 56, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan menyebabkan dia terpaksa memburu jualan murah yang diadakan di mana-mana pasar raya atau karnival di negeri ini.
"Nak dapat beras tempatan memang susah sekarang ini. Kalau beli beras import pula mahal.
"Jadi saya akan cari karnival jualan murah atau mana-mana pasar raya di negeri ini yang jual beras pada harga murah.
"Bila ada jualan murah atau harga promosi memang saya akan pergi beli. Ikutkan nak beli beras tempatan tetapi sebab payah nak dapat sekarang ini maka tiada pilihan kena juga beli beras import," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Siti Hajar berkata, dia yang menjalankan perniagaan nasi berlauk terpaksa menaikkan harga makanan, namun dengan kadar minima supaya tidak membebankan pelanggannya.
"Kesukaran nak dapatkan beras tempatan menyebabkan kos meningkat. Jadi kita terpaksa naikkan harga makanan dalam kadar sebanyak 50 sen.
"Kadang bila nak naik harga itu, kena fikir pelanggan juga. Kesian mereka terpaksa tanggung kesan tetapi kami peniaga pun sudah terbeban dengan kenaikan harga barang," ulasnya.
Sementara itu, suri rumah, Nuzul Akmal Wati Abdullah, 38, berkata, harga beras import yang meningkat menyebabkan tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang mempunyai tanggungan ahli keluarga yang ramai.
"Rasa terbeban sebab kita duduk kampung... suami pula kerja kampung dan tak kerja tetap.
"Jadi kita rasa susah sebab harga barang sekarang mahal. Apabila barang semua mahal maka nak makan dan belanja itu kena berjimat," jelasnya.
Berkongsi pandangan sama, Zainab Abdullah, 54, menyatakan dia amat risau dengan bekalan beras tempatan yang sukar diperoleh terutama menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
"Harga kos barang naik ini memang kita nak cari beras tempatan tapi susah nak dapat... nak dekat puasa dan sambut raya nanti lagi banyak beras nak guna.
"Nak beli beras pun dah nak cecah RM50. Kebanyakan beras import dijual harga mahal. Jadi nak tak nak kena beli juga demi keperluan keluarga," ujarnya.