Kurang ekstrak air kekalkan kapasiti efektif Empangan Air Itam

Iklan
Empangan Air Itam masih berada pada tahap kapasiti efektifnya sejak 10 hari lalu. Gambar kecil: Chow Kon Yeow. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Kapasiti efektif Empangan Air Itam kekal pada 32.4 peratus sejak 10 hari lalu berikutan langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengurangkan pengeluaran daripada empangan itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelan tindakan mengurangkan pengekstrakan dari Empangan Air Itam sedang dilaksanakan berikutan pengeluaran air turut disalurkan dari Loji Rawatan Air Sungai Dua.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini, ketika gangguan bekalan air pada Januari lalu, air dari Empangan Air Itam turut disalurkan ke kawasan lain bagi membantu bekalan air di kawasan terjejas.

"Kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan 'engineering solutions' bagi memastikan semua kawasan di negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menulis surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan pembenihan awan.

"Walaupun kapasiti efektif Empangan Air Itam cukup untuk bertahan selama 32 hari lagi, kita masih memohon untuk pelaksanaan pembenihan awan.

Iklan

"Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum pembenihan awan boleh dilaksanakan, oleh itu, ia masih dalam pertimbangan," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow menambah, keadaan cuaca kering baru-baru ini menyebabkan paras air Sungai Muda menurun.

"Paras air di Sungai Muda dilihat telah menurun sejak beberapa hari lalu namun kita masih mempunyai Empangan Mengkuang sebagai empangan strategik untuk melepaskan air bagi kegunaan pengguna jika perlu.

"Setakat ini, paras Sungai Muda turun ke paras berjaga-jaga peringkat pertama. Oleh itu, pengeluaran air dari Empangan Mengkuang tidak diperlukan ketika ini," katanya.

Kapasiti efektif Empangan Mengkuang ketika ini berada pada 89.8 peratus dan boleh bertahan selama 130 hari jika air di situ dilepaskan untuk kegunaan pengguna sekitar.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, bagi Empangan Teluk Bahang pula, ia mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk bertahan selama 257 hari iaitu khusus untuk kawasan sekitarnya.

Menurutnya, kapasiti efektif bagi Empangan Teluk Bahang ketika ini adalah 82.8 peratus.

"Kita akan terus memantau paras air di Sungai Muda dan semua empangan di negeri ini.

"Selain usaha-usaha ini, sudah tentu kita memerlukan kerjasama daripada pengguna supaya berjimat cermat ketika menggunakan air," katanya.

Sebelum ini, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 32.8 peratus berbanding 85.1 peratus bagi Empangan Teluk Bahang dan 90 peratus bagi Empangan Mengkuang.

PBAPP mengesahkan penurunan kapasiti efektif Empangan Air Itam yang merekodkan penyusutan sehingga paras 37.7 peratus adalah berpunca daripada musim panas dan kering ketika ini.

Susulan itu, PBAPP telah menulis surat kepada SPAN untuk pembenihan awan pada 2 Februari lalu.

PBAPP juga akan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri pada minggu ini untuk melaksanakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).