SUNGAI PETANI - Penduduk di Kampung Jerai, Bukit Selambau di sini membantah projek menyedut pasir di kampung mereka yang didakwa mengancam keselamatan serta menjejaskan kelestarian alam sekitar di kawasan terbabit.
Wakil penduduk Abd Rais Lah Omar, 54, berkata, laluan keluar masuk ke tapak projek berkenaan agak hampir dengan lima kediaman penduduk.
Katanya, keadaan terbabit menyebabkan kekotoran serta gangguan pernafasan akibat debu yang tebal.
"Keselamatan dan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar tapak projek akan terjejas terutama penduduk di Lot 321 dan 3164.
"Akibat dari penyedutan pasir juga ia akan menghasilkan satu lombong yang sangat luas dan dalam," katanya ketika ditemui selepas tinjauan di tapak projek pasir berkenaan di Kampung Jerai di sini pada petang Rabu.
Menurutnya, pemilik tanah berhampiran tapak projek juga terpaksa menanggung kerugian akibat daripada susut nilai tanah kesan perlombongan pasir.
Seorang penduduk, Siti Ramlah Husin, 63, berkata, dia yang merupakan penduduk asal kampung terbabit berasa tidak senang dengan aktiviti terbabit kerana risau tanah akan terhakis sehingga ke rumahnya.
"Projek ini pun bising, bunyi jentolak tak berhenti. Ibu saya yang berusia 84 tahun agak tertekan dengan keadaan ini mata dia pulak tak nampak.
"Kalau boleh kita minta berhentilah projek ini sebab kami penduduk yang terpaksa hadap kesannya," rayunya.
Sementara itu, Abdul Hadi Ahmad, 39, berkata, projek berkenaan mengundang rasa ke tidak tenteraman penduduk termasuk pada waktu malam.
"Kita ada anak kecil, tengah malam pun ada lori keluar masuk, memang bising. Jadi kami minta ihsan pihak bertanggungjawab agar kuari ini dapat ditutup demi ketenteraan penduduk," jelasnya.