Kecederaan tidak halang kemaraan Liew Daren

Iklan
Atlet negara Liew Daren ketika beraksi menentang Zhao Jun Peng dari China pada pusingan pertama perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Master 2020 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. -Foto Bernama

KECEDERAAN tidak menghalang pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren untuk menyerlah pada Kejohanan Masters Malaysia 2020 yang membuka tirai di Axiata Arena, di sini hari ini.

Beliau yang mengalami sakit belakang sejak dua minggu lepas, menang mudah dalam kedua-dua perlawanan kelayakan menentang Subhankar Dey dari India 21-15, 21-15 dan Zhao Jun Peng dari China 21-15, 21-15.

Iklan
Iklan

"Pada permulaan saya ketinggalan 0-4 kepada Zhao tapi lepas itu dapat mengejar kembali dengan teknik yang lebih agresif. Main dalam dua perlawanan dalam satu hari, dari segi fizikal, okay.

Cumanya saya alami kecederaan, jadi ia lebih sukar sedikit. Saya boleh rasa sedikit tegang di bahagian belakang tadi. Nasib baik saya boleh menang hari ini,” katanya kepada media selepas perlawanan di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Iklan

Pemain yang kini berada di ranking ke-30 dunia bakal berdepan cabaran lebih sengit apabila dijadualkan bertemu pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.

Daren berkata, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap Kejohanan Mastera Malaysia 2020 terlebih dahulu dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai Sukan Olimpik 2020 buat masa sekarang namun percaya masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke temasya terbesar dunia itu.

Iklan

"Memang kalau tengok sekarang agak sengit untuk ke Sukan Olimpik tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Untuk beberapa kejohanan selepas ini, saya perlu bekerja lebih keras untuk dapatkan peluang itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven gagal mara ke undian utama untuk bersama-sama menggalas cabaran bersama Daren dan Lee Zii Jia.

Joo Ven yang meraih kemenangan pertama ke atas pemain di ranking ke-37 dunia dari Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki 21-8, 17-21, 21-15 bagaimanapun terkandas di pusingan seterusnya apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Jepun, Koki Watanabe dengan keputusan 16-21, 21-16, 11-21.

Dua beregu campuran negara, Low Hang Yee-Lim Chiew Sien dan Man Wei Chong-Pearly Tan Koong Le mencipta kejutan apabila berjaya menyingkirkan lawan masing-masing yang berada di ranking lebih tinggi.

Gandingan baru negara, Hang Yee - Chiew Sien menyingkirkan beregu di ranking 53 dunia, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-17, 21-16 manakala Wei Chong - Pearly Tan (89) pula menewaskan gandingan baru Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika 21-16, 21-17.

Satu lagi wakil beregu campuran negara, Chia Wei Jie-Yap Ling bagaimanapun kalah kepada Choi Solgyu-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 14-21, 15-21.

Pada pusingan pertama undian utama, Wei Chong - Pearly Tan akan bertemu beregu pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti manakala Hang Yee-Chiew Sien pula akan bertemu rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang juga merupakan beregu pilihan keenam kejohanan.

Bagi acara beregu wanita pula, tiga gandingan negara mara ke undian utama Teoh Mei Xing-Yap Ling dan Pearly Tan-MThinaah mendapat kemenangan percuma selepas lawan masing-masing, Cheng Chi Ya-Lee Chih Chen (Taiwan) dan Alexandra Boje-Metter Poulsen (Denmark) menarik diri.

Manakala, gandingan Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien menewaskan rakan senegara Cheah Yee See-Payee Lim Peiy Yee 21-11, 21-18.

Mei Xing -Yap Ling dijadualkan berjumpa Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun manakala gandingan Anna Cheong-Chiew Sien dan Pearly Tan-M.Thinaah akan menentang satu sama lain.

Bagi acara beregu lelaki pula, ketiga-tiga gandingan negara iaitu Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Mohamad Arif Ab Latif-Nur Mohd Azryin Ayub dan Shia Chun Kang-Tan Boon Heong gagal ke undian utama selepas tewas dalam pusingan kelayakan hari ini.

Tiada wakil bagi acara perseorangan wanita apabila pemain negara, Soniia Cheah terlebih dahulu menarik diri ekoran kecederaan hamstring diikuti Goh Jin Wei menarik diri kerana pasukan kejurulatihan merasakan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk kembali cergas sepenuhnya.

Jin Wei sebelum ini menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya berikutan sakit dalam perut, pada Oktober. -Bernama