SKUAD Harimau Malaya berada di ranking ke-132 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kedudukan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon jatuh dua anak tangga apabila sebelum ini berada pada kedudukan ke-130 dunia pada kemas kini 21 Disember lalu.
Penurunan ranking itu sudah dapat dijangka selepas skuad negara tewas dua perlawanan dan mencatatkan satu seri dalam aksi Piala Asia di Doha, Qatar baru-baru ini.
Dalam aksi Kumpulan E itu, Malaysia tewas aksi pembukaan kepada Jordan 0-4, kemudian kalah sekali lagi kepada Bahrain 0-1.
Namun, keputusan seri 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan sedikit sebanyak menyelamatkan ranking skuad negara daripada jatuh teruk.
Dalam pada itu, untuk ranking dalam kelompok Asia, Jepun terus mengungguli kedudukan walaupun gagal mara ke final Piala Asia apabila berada pada kedudukan ke-18 dunia.
Berada di belakang Jepun adalah Iran (24) yang disekat Qatar di pusingan separuh akhir dan Korea Selatan (27) juga terkandas di pusingan sama.
Peringkat Asia Tenggara pula menyaksikan Thailand memintas Vietnam sebagai pasukan Asean terbaik apabila berada pada kedudukan ke-101 dunia.