PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Rabu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula jam 2 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).
Menurutnya, pasukan operasi telah diatur gerak untuk menyerbu dua premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor dan Jalan Alor, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, berdasarkan aduan serta risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki masing-masing warga India dan Bangladesh berusia antara 28 hingga 31 tahun yang disyaki sebagai 'dalang utama' sindiket berkenaan.
"Kedua-dua yang ditahan tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini, selain pasukan operasi turut menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun yang dipercayai sebagai ahli sindiket.
"Dua ahli sindiket itu masing-masing ditahan kerana tidak memiliki pas yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ruslin berkata, pasukan operasi merampas empat pasport India milik orang lain, satu pasport India disyaki palsu, satu pasport Pakistan milik orang lain, satu pasport Pakistan disyaki palsu serta satu pasport Bangladesh.
Selain itu menurut beliau, pihaknya merampas 26 keping Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) disyaki palsu, dua keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) disyaki palsu, dua buah komputer riba serta sebuah pencetak.
Jelas beliau, modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India dan Pakistan yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.
Katanya, suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah dalam dua urusan tersebut dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti pasport palsu, PLKS palsu dan kad CIDB palsu.
Tambahnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap satu pasport manakala caj sebanyak RM500 bagi setiap PLKS dan kad CIDB.
"Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ini ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Mereka telah ditahan di depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, JIM turut berjaya menumpaskan satu sindiket Program Rekalibrasi 2.0 dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Rabu.
Beliau berkata, pasukan operasi telah menyerbu sebuah premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor jam 10.00 malam.
Menurutnya, berdasarkan aduan serta risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 31 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan.
Katanya, semasa ditahan suspek tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM2,000, sejumlah 188 pasport Bangladesh, pasport Indonesia (5), empat pasport lain iaitu masing-masing India, Pakistan, Nepal dan Thailand (1).
"Selain itu, pasukan operasi turut merampas pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba," ujarnya.
Beliau berkata, sindiket itu akan mendaftarkan syarikat bersama warga tempatan bagi mengaut keuntungan dengan memanipulasi Program RTK 2.0.
Untuk itu kata beliau, seorang wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.
Tambahnya, pihak sindiket dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap PATI.