KHAN YUNIS - Hospital al-Nasser di selatan Genting Gaza telah dikepung selama sebulan selepas kemudahan kesihatan itu menjadi sasaran serangan ganas terbaharu rejim Zionis setelah peperangan ganas itu sudah berlarutan selama 125 hari.
"Kami tiada lagi makanan atau bekalan air untuk diminum. Kami terperangkap kerana penembak tepat Israel sentiasa berkawal di sekitar bumbung hospital ini dan menembak mati tiga individu.
"Selain itu, unit kereta kebal juga ditempatkan di sini,” kata jururawat, Mohammed al-Astal.
Situasi semakin meruncing selepas ratusan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal dan berlindung di Hospital al-Nasser diarahkan berpindah oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) setelah mereka mengancam untuk menyerang hospital berkenaan.
Rakaman video pada Rabu menunjukkan kumpulan tersebut terpaksa meninggalkan hospital berkenaan yang turut merawat kira-kira 400 pesakit kritikal.
Sebelum ini, arahan tidak berperikemanusiaan sama pernah dikeluarkan ke atas hospital terbesar, al-Shifa selepas IDF mengepung kompleks berkenaan.
Susulan situasi yang semakin terdesak, pasukan perubatan telah menzahirkan kebimbangan terhadap nasib mangsa di Hospital al-Nasser.
"Keadaannya amat-amat sukar dan tidak dapat digambarkan,” ujar Dr Abu Lehya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hospital al-Nasser merupakan tulang belakang sistem kesihatan di selatan Gaza dan ia perlu dilindungi.
Sementara itu, Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS) menerusi platform X mendakwa IDF turut melancarkan bedilan bertalu-talu ke atas Hospital al-Amal di Khan Yunis yang kini menjadi medan pertempuran utama. - Agensi