REMBAU - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 7, simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, mangsa Muhammad Adiff Haikal Mohd Mizam, 17, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar Seremban kira-kira jam 5.30 petang.
"Kejadian jam 1.03 petang itu dipercayai berlaku ketika treler dari arah Plaza Tol Pedas Linggi dan berhenti seketika untuk menunggu giliran di simpang tiga Jalan Pedas-Kundur-Linggi untuk menghala masuk ke arah sebelah kanan ke Kundur.
"Bagaimana pun, semasa treler itu sedang keluar ke simpang, datang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari Kundur menghala ke Pedas tidak dapat mengelak, lalu terlanggar tayar bahagian tengah sebelah kanan treler," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, akibat daripada kemalangan ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau itu mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Rembau.
"Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan lanjut, tetapi disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Proses bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat lebih kurang jam 9 pagi dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," katanya.