RAFAH - Dengan hanya ‘bermodalkan’ dua kipas dan dihubungkan dengan beberapa kabel wayar sehingga terhasilnya sumber elektrik, seorang remaja Palestin kini digelar sebagai Newton versi Gaza.
Sejak beberapa hari lalu, nama Hussam Al-Attar menjadi sebutan ramai selepas dia berjaya menghasilkan sumber elektriknya sendiri, hasil daripada kipas yang dikutip dari pasar menjual barang terpakai.
Ciptaan istimewa Hussam itu digunakan untuk menerangi khemah yang didiami ahli keluarganya selepas mereka kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel di Gaza.
Bagi mengiktiraf kebijaksanaan remaja berkenaan, penduduk di sekitar khemahnya memberi gelaran Newton versi Gaza kepadanya.
"Mereka memanggil saya Newton versi Gaza disebabkan persamaan antara saya dan Isaac Newton,” kata Hussam yang kelihatan muda meskipun mencecah usia 15 tahun.
Keluarga Hussam memasang khemah mereka di sebelah sebuah rumah satu tingkat.
Ia bagi membolehkan dia memanjat ke atas bumbung rumah untuk meletakkan dua kipasnya, berfungsi sebagai turbin yang mampu mengecas bateri.
Hussam kemudian menghubungkan kipas tersebut dengan wayar yang berada di dalam rumah berkenaan dan menggunakan suis, bal lampu serta sekeping papan lapis tipis memanjang ke dalam khemah bagi menghasilkan sistem lampu.
Menurut Hussam, dua percubaan pertamanya gagal dan dia mengambil waktu yang agak lama untuk menghasilkan sistem yang betul pada percubaan ketiga.
"Saya gembira dapat menciptakannya kerana ia meringankan kesusahan keluarga, ibu bapa saya yang sakit, anak kepada abang saya dan semua orang di sini yang menderita hidup dalam keadaan ini akibat peperangan.
"Saya cukup gembira apabila semua orang memanggil saya Newton versi Gaza.
"Saya berharap dapat mencapai cita-cita saya menjadi seorang saintis seperti Newton,” ujarnya. - Agensi