TUMPAT - Suluk Tok Selehor yang dibina sejak 102 tahun lalu kini masih menjadi lokasi bersuluk bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah individu dari luar negara.
Pemegang kunci suluk berkenaan, Rizatulakman Zaid, 51, berkata, ramai yang menghubunginya untuk melihat sendiri tempat solat dan beribadah seorang ulama tersohor Kelantan, Allahyarham Abd Rahman Othman atau Tok Selehor.
Beliau yang juga cicit atau generasi keempat Tok Selehor bersyukur kerana tempat itu dikenali pelbagai golongan.
"Kebiasaannya ramai yang datang melakukan lawatan secara rasmi atau sebaliknya untuk melihat dan menikmati sendiri suasana di dalam suluk ini," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Rizatulakman berkata, sejak menjadi pemegang kunci suluk 25 tahun lalu, beliau membenarkan semua permintaan untuk melawat suluk Allahyarham datuknya kerana percaya mereka mahu melihat keadaan dalam sebuah lubang kubur.
"Kami anggap ia tempat suci kerana arwah datuk menjadikan tempat ini untuk beribadat dan berzikir," katanya.
Sebagai penjaga suluk, Rizatulakman juga menasihatkan pelawat supaya tidak melakukan perkara yang dilarang dalam Islam.
"Saya sekadar mengingatkan pelawat bagi mengelakkan perkara negatif berlaku ke atas mereka. Jaga adab dan batas yang sepatutnya dalam Islam," katanya.
Bagaimanapun katanya, ada di antara pelawat yang datang untuk membuat kandungan tidak sepatutnya untuk dimuat naik di media sosial.
Justeru, Rizatulakman menasihatkan pelawat supaya mengelakkan sebarang kandungan yang boleh mencemarkan kesucian tempat itu dan dilihat tidak relevan untuk dikongsi kepada umum.
Suluk yang dibina di Tanah Perkuburan Kok Pasir itu bersaiz hampir sama dengan liang lahad dan menjadi tempat beribadah atau pertapaan Tok Selehor.
Tok Selehor dikenali sebagai seorang yang zuhud serta warak dan bagi mengelakkan menjadi riak, beliau membuat lubang khas di antara perkuburan Kampung Selehor dan sebuah madrasah.
Kini madrasah itu sudah dinaik taraf sebagai masjid dan dikenali sebagai Masjid Tok Selehor.
Sementara itu, pesara guru yang juga generasi keempat Tok Selehor, Che Zaharah Husain, 58, mendakwa melawat suluk itu selepas bermimpi kali ketiga.
"Kami sekeluarga memanggil Tok Selehor sebagai ayahanda dan saya datang untuk menziarahi pusara serta suluk.
"Saya tidak pernah datang ke sini dan terpanggil untuk melawat selepas bermimpi bercakap dengan ayahanda," katanya.