KAPTEN Perancis, Kylian Mbappe telah memberitahu Paris Saint-Germain (PSG) bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan pasukan itu apabila kontraknya tamat pada penghujung musim, kata sumber yang rapat dengan juara Ligue 1 itu.
Pemain berusia 25 tahun itu yang tiba di Paris dari AS Monaco pada 2017 menyambung kontraknya pada 2022 hingga 2024.
Namun, pada musim panas lalu dia enggan mengaktifkan klausa membenarkannya untuk kekal setahun lagi di PSG.
Mbappe dikatakan akan berpindah ke Real Madrid dan menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, dia telah mengadakan rundingan dengan gergasi Sepanyol itu.
"Syarat perpindahan masih belum dipersetujui sepenuhnya,” kata sumber itu sambil menambah bahawa kelab dan Mbappe akan membuat kenyataan rasmi apabila segala-galanya dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.
PSG enggan mengulas ketika dihubungi AFP tetapi difahamkan pemergian Mbappe akan diumumkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi.
"PSG memberi tumpuan kepada apa yang akan berlaku pada masa depan," kata sumber itu.
Selepas tujuh musim di PSG, Mbappe, penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 274 gol dan kelihatan bersedia untuk berpindah ke Real Madrid yang menjadi kelab impiannya sejak kecil.
Real tidak merahsiakan hasrat mereka untuk membawanya ke Santiago Bernabeu apabila pada 2019, 2021 dan 2022, presiden kelab Florentino Perez mempertimbangkan untuk menandatanganinya namun ditolak oleh PSG.