Tangani ancaman perang siber, digital

Iklan
Mohamed Khaled (tiga dari kanan) melancarkan KSP KPP sambil disaksikan Adly (dua dari kanan), Isham (kiri) dan Mohammad (kanan) di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini menggerakkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) bagi menambah baik perancangan pertahanan yang turut mengambil kira ancaman perang siber.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ekoran itu KPP perlu didasari dengan usaha penyediaan dan pembangunan Angkatan Masa Hadapan.

Iklan
Iklan

Katanya, Angkatan Masa Hadapan itu untuk menangani segala bentuk ancaman bukan tradisional meliputi keselamatan siber, digital dan elektromagnetik pertahanan.

"Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut ‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran KSP KPP di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

KPP merupakan satu dokumen terbuka dasar pertahanan negara yang telah diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019 dan telah dilaksanakan mengikut perancangan semenjak tahun 2020 sehingga kini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Iklan

Dokumen itu menetapkan bahawa satu kajian separuh penggal perlu dilaksanakan menjelang tahun 2025 bagi menilai pencapaian pelaksanaan KPP selain melaksanakan penambahbaikan di bawah RMKe-13.

Ancaman bukan tradisional

Strategi pertahanan digital akan menjadi norma baharu kepada pasukan keselamatan dengan pengambilan anggota baharu dalam kalangan mereka yang mahir bidang komputer dan teknologi AI.


Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, ancaman bukan tradisional juga mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan, sistem perubatan dan pengangkutan.

Menurutnya, pada suku akhir tahun lalu, satu kejadian penggodaman dan kecurian fail dari Pentagon, Amerika Syarikat (AS) yang digelar sebagai ‘insiden besar’ melibatkan sehingga lebih 600,000 e-mel dan memberi kesan kepada lebih 2,500 organisasi kerajaan.

Malah, pada bulan lalu kata beliau, satu lagi insiden yang hampir sama turut dilaporkan melibatkan data-data berkaitan dengan ketenteraan AS.

"Dalam konteks ini, negara jiran kita sudah mengambil langkah ke hadapan sehingga menubuhkan Digital and Intelligence Services (DIS) sebagai domain dan ketumbukan baharu yang keempat di bawah Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada tahun 2022.

"Mereka (SAF) bukan sahaja mempunyai pasukan, uniform dan fokus ketumbukan (pasukan) yang khusus. Malah, pendekatan seperti Digital Work-Learn Scheme dan Cyber Work-Learn Scheme untuk menarik minat lebih ramai pakar dalam bidang komputer termasuklah teknologi kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Strategi pertahanan digital

Strategi pertahanan digital itu jelas Mohamed Khaled, dijangka akan menjadi norma baharu kepada pasukan keselamatan melaksanakan proses pengambilan anggota baharu yang terdiri daripada individu yang mempunyai kemahiran menggodam atau hackers.

Bahkan, ramai penganalisis menurutnya meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti dron tanpa pemandu (UAV) atau aset-aset lain yang dikawal secara digital.

"Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi AI, data raya dan pendigitalan di MINDEF dan ATM,” tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai KSP KPP, Mohamed Khaled memaklumkan ia dilaksanakan bagi mengukur keberkesanan atau kelemahan pendekatan yang digunakan sejak 2020 dalam memastikan aspirasi KPP itu tercapai.

Malah, KSP KPP turut menjadi ruang dan peluang kepada kerajaan mempertimbangkan segala pilihan perkara yang tidak mencakupi sebelum ini.

Pertahanan negara perlu anjakan baharu seiring dengan perkembangan global - pakar

Pakar-pakar yang menyertai Wacana Kertas Putih Pertahanan pada Selasa.


KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan satu anjakan baharu dalam memastikan pertahanan negara sentiasa ke hadapan seiring dengan perkembangan global masa kini.

Demikian disarankan empat pakar pertahanan dalam Wacana Kertas Putih Pertahanan yang berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, pada Selasa.

Empat panel terbabit ialah Ketua Pusat Pengajian Asia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee; Pensyarah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Adam Leong Kok Wey; Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Shahriman Lockman dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif MiGHT, Rushdi Abdul Rahim.

Menurut mereka, meskipun sistem pertahanan negara adalah komprehensif, namun ia boleh ditambah baik dengan mengambil kira semua aspek kemandirian Malaysia mengikut perkembangan terkini.

Penambahbaikan itu merangkumi pemodenan senjata berteknologi, peningkatan kemahiran dan kepakaran anggota selain penyesuaian negara terhadap perubahan geopolitik dunia.

Menyentuh mengenai situasi geopolitik dunia, kesemua pakar berkenaan berpendapat bahawa peperangan di antara Rusia-Ukraine, serangan Rejim Zionis ke atas Palestin perlu diberikan perhatian bagi meminimumkan kesan terhadap negara.

Malah, pembangunan industri pertahanan dilihat mampu menyokong kemampanan negara dalam menghadapi ancaman masa depan.

Ini kerana, Malaysia mampu mewujudkan industri pertahanannya sendiri dan berdaya saing berdasarkan kepada tadbir urus yang baik, mekanisme kerjasama rentas sektor, pembiayaan mampan, pembangunan bakat selain infrastruktur kritikal dan sebagainya.