Kuala Selangor tawar produk pelancongan baharu

Iklan
Skymirror antara tarikan pelancong yang ditawarkan di Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR - 'Blue Tears' (kilauan biru), Skymirror dan Dataran Pekan Lama Kuala Selangor antara produk pelancongan terbaharu di Kuala Selangor yang mampu menjadi tarikan pelancong pada tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat berkata, penambahan produk-produk terbaharu sejak 2018 itu meningkatkan lagi rantaian produk-produk pelancongan sedia ada seperti Bukit Malawati, Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Homestay Sungai Sireh dan Pantai Remis.

Iklan
Iklan

"Selain itu, tarikan pelancongan lain seperti produk makanan daripada pemain Industri Kos Sederhana (IKS) diikuti kepelbagaian restoran makanan laut segar yang menanti kehadiran pengunjung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, katanya, produk-produk sedia ada turut ditambah baik seperti penambahan lukisan mural bersejarah di sekitar Pekan Lama Kuala Selangor dan Bukit Malawati.

Iklan

"Selain itu, kita juga menaik taraf sistem tiket, kemudahan kaunter dan parkir yang mesra pelancong di Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan hasil kerjasama bersama LBS Foundation serta menjalankan operasi menaiki sampan melihat panorama kelip-kelip setiap hari yang telah diamalkan secara berterusan selama dua tahun," katanya.

Rahilah berkata, MDKS amat mengalu-alukan kedatangan pelancong ke daerah Kuala Selangor sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Iklan

"MDKS turut mengambil peranan dalam menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat negara ini menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan serta keindahan negara ini," katanya.

Katanya, MDKS berharap penduduk Kuala Selangor dapat memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelawat yang berkunjung ke daerah ini.

"MDKS turut mengalu-alukan kepada syarikat-syarikat swasta untuk menganjurkan karnival berskala besar di daerah ini namun perlu merujuk kepada MDKS terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan," katanya.