BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Orang ramai mula membanjiri Lembah Makanan, Perda di sini, sejak awal pagi, kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah terutama Beras Putih Malaysia Madani pada Jualan Termurah Madani pada Jumaat.
Kebanyakan mereka juga menyifatkan inisiatif Jualan Termurah Madani banyak memberi manfaat kepada rakyat bagi meringankan beban dalam menangani isu kos sara hidup.
Program berkenaan memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama seperti ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit yang dijual pada harga murah.
Pekerja kilang Mohd Syukran Rahmad, 50, berkata, dia datang seawal 7.30 pagi untuk mendapatkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.
"Saya datang dengan isteri dan kami dapat beli dua kampit beras, dapatlah bertahan selama sebulan dan kami turut beli beberapa barang keperluan lain seperti gula, tepung gandum, minyak peket, ayam dan ikan pada harga murah berbanding pasaran.
"Saya dan isteri selalunya memang akan pergi beli barang keperluan di Jualan Madani atau Jualan Rahmah yang dianjurkan di sini kerana kami dapat berjimat. Sekurang-kurangnya dapat jimat sehingga RM100 sebulan... itu dah cukup baik untuk keluarga saya," kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama pada Jumaat.
Suri rumah Nurul Atikah Mohd Fauzi, 35, pula berkata, dia dapat berjimat sehingga 30 peratus dengan membeli-belah di Jualan Termurah Madani pada Jumaat dan tumpuannya adalah beras serta barangan kering untuk kegunaan harian di rumah.
Dia yang tinggal di Permatang Pauh dan mempunyai tiga anak berkata selain murah, barang-barang ditawarkan juga berkualiti malah ada yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
"Macam harga ayam mungkin di pasar sekilo RM9 lebih tapi di sini (Jualan Termurah Madani) sekilo baru RM7.50 malah di sini juga terdapat pelbagai pilihan ikan dijual dengan harga murah berbanding jualan (ikan) di Jualan Madani atau Jualan Rahmah biasa.
"Sebenarnya, bila ada peluang jualan murah seperti ini sedikit sebanyak sangat melegakan kami golongan berpendapatan rendah ini. Puas hati dapat beli barangan keperluan hari ini termasuk barangan basah," katanya yang memaklumkan suaminya bekerja kilang di Batu kawan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan tinjauan sempena program berkenaan.
Beliau menghabiskan masa kira-kira 45 minit menyantuni peniaga dan pengguna yang mengunjungi jualan tersebut.