Sembilan individu diberkas menyamar pegawai insurans

Iklan
Tangkapan sembilan individu termasuk tiga wanita di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu berjaya menyelesaikan 61 kes membabitkan nilai kerugian RM28.92 juta. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Tangkapan sembilan individu termasuk tiga wanita di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu berjaya menyelesaikan 61 kes membabitkan nilai kerugian RM28.92 juta. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai insurans terbongkar susulan tangkapan sembilan individu termasuk tiga wanita di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa.

Kesemua tangkapan itu sekali gus menyelesaikan 61 kes membabitkan nilai kerugian RM28.92 juta.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berumur antara 28 hingga 42 tahun yang ditahan itu dipercayai bertindak sebagai pemilik akaun keldai dan pemilik syarikat keldai yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

Beliau berkata, salah seorang mangsa merupakan pesara perbankan wanita berumur 70 tahun yang dilaporkan berlaku pada November 2022 membabitkan nilai kerugian RM3.83 juta.

Iklan

"Mangsa kemudian menafikan kewujudan tuntutan insurans berkenaan sebelum panggilan itu disambungkan kepada pihak lain yang menyamar sebagai pegawai polis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, mangsa kemudian diarahkan untuk membuka akaun bank dan memindahkan kesemua wangnya ke akaun bank berkenaan.

"Mangsa seterusnya diarahkan menyerahkan maklumat akaun bank dan perbankan dalam talian akaun terbabit kepada sindiket.

"Mangsa turut tidak dibenarkan mengemaskini atau mengakses akaun banknya selama beberapa bulan atas alasan siasatan sedang berjalan," katanya.

Menurutnya, mangsa membuat semakan akaunnya dan mendapati sejumlah RM3,839,000 telah dipindahkan keluar dari akaun terbabit dan hanya berbaki RM78 pada September 2023.

"Siasatan mendapati pemilik akaun keldai yang ditahan ini menerima bayaran antara RM300 hingga RM400 untuk sindiket menggunakan akaun bank mereka.

"Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.