Kerajaan diminta perincikan status Beras Putih Malaysia Madani

Iklan
Azman

KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta memperincikan status Beras Putih Malaysia Madani sama ada ia merupakan beras putih tempatan (SST), beras putih import (SSI) atau beras campuran tempatan dan import.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, persoalan itu perlu mendapat penjelasan kerana terdapat perbezaan harga bagi setiap kategori beras tersebut.

Iklan
Iklan

"Jika ianya beras tempatan bermakna ada kenaikan harga kira-kira RM1 bagi setiap kilogram (kg) berbanding harga sebelum ini RM2.50/kg.

"Kalau ia beras import bermakna ada penurunan harga kerana sebelum ini beras import biasanya dijual sekitar RM3.80/kg.

Iklan

"Sekiranya ia adalah beras campuran tempatan dan import, komposisi campurannya sudah tentu lah mengandungi 60 hingga 70 peratus beras tempatan, bakinya adalah beras import," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, Azman berkata, beliau berpandangan beras tersebut mungkin bukan daripada beras import kerana kuantiti beras berkenaan hanya sekitar 33 peratus dari keperluan negara.

Iklan

Katanya, sebarang kenaikan melibatkan harga bekalan sumber asas makanan itu akan meletakkan rakyat dalam situasi tiada pilihan.

"Beras adalah sumber makanan ruji rakyat. Kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi memikul bebanan perbelanjaan tambahan demi mendapatkan bekalan makanan ruji dalam keadaan kos hidup yang sudah sedia membebankan.

"Nak tanak nasi, inilah sahaja beras yang ada. Sebelum ini rakyat yang kurang berkemampuan boleh beli beras tempatan dengan harga murah.

"Mereka yang berduit silakan beli beras import yang lebih mahal dan dikatakan lebih berkualiti. Tapi saya tetap mengatakan bahawa beras tempatan kita kualitinya 'tidak kalah'.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara, dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Jelas beliau, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Beliau berkata, penetapan harga siling baharu bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa pada 19 Februari ini dan ia dijangka akan berada di pasaran bermula 1 Mac.