CORRYONG - Seekor anjing berjaya menyelamatkan puluhan biri-biri daripada terkorban dalam kebakaran hutan di Australia.
Diberi nama Patsy, anjing pengembala ini telah berkhidmat selama enam tahun di ladang ternakan biri-biri di kawasan pedalaman di Corryong di sini.
Patsy juga pintar mengendalikan situasi cemas apabila membawa lari puluhan biri-biri berlindung di kawasan lebih selamat sementara tuannya memadamkan api.
Hasil kerjasama Patsy dan tuannya, jerami dan peralatan ladang berjaya diselamatkan.
Tular di laman sosial beberapa foto memaparkan Patsy berada di ladang berlatar belakangkan api sedang marak menghampirinya selain puluhan biri-biri ditempatkan di lokasi selamat yang diliputi asap.
Patsy mendapat gelaran juara dari pemiliknya selepas berjaya menyelamatkan biri-biri dan telah lakukan yang terbaik.
Hampir setengah bilion haiwan terbunuh akibat kebakaran hutan di Australia dan ia dikhuatiri mampu menghapuskan semua spesies di negara itu.
Ahli ekologi dari Universiti Sydney menganggarkan sebanyak 480 juta mamalia, burung dan reptilia telah hilang sejak September lalu dengan angka itu akan terus melonjak.
Kebakaran yang memusnahkan Victoria dan New South Wales (NSW) sejak beberapa hari lalu turut mengorbankan beberapa nyawa dengan beberapa lagi dilaporkan hilang.