SKUAD wanita negara terpaksa menelan kepahitan apabila tersingkir daripada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 sekali gus gagal menyamai pencapaian ke separuh akhir dua tahun lalu.
Malaysia tewas kepada penyandang juara, Indonesia 0-3 pada aksi suku akhir di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada Jumaat.
Pasukan wanita negara gagal mengambil kesempatan untuk meraih tiket ke separuh akhir, biarpun Indonesia membariskan skuad kedua.
Ketua pasukan, M Thinaah meluahkan rasa kecewa dengan permainannya, namun seluruh pasukan sudah memberikan tentangan sengit kepada lawan sehingga ke permainan rubber set.
"Kami cuba untuk melawan, namun pukulan mereka lebih konsisten dan menjadi," katanya.
Thinaah yang bergandingan dengan Pearly Tan tewas kepada Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21.
Sebelum itu harapan negara disandarkan kepada perseorangan, K Letshanaa untuk mengutip mata pertama, namun kalah 12-21, 21-18, 13-21 kepada Putri Kusuma Wardani.
Impian untuk melihat seorang lagi pemain perseorangan, Wong Ling Ching menghidupkan peluang skuad wanita tidak kesampaian apabila dia juga terpaksa akur ketika berdepan Ester Nurumi Tri Wardoyo selepas kalah 21-14, 15-21, 16-21.
Selain Indonesia turut mara ke separuh akhir ialah India selepas menundukkan Hong Kong 3-0, manakala Thailand pula mengetepikan Taiwan 3-1.
Pada edisi 2022, Malaysia mara ke separuh akhir apabila muncul juara Kumpulan Y di mana mereka berjaya menumpaskan Jepun dan India 3-2.
Namun dalam aksi separuh akhir mereka kalah 0-3 kepada Korea Selatan sebelum lawannya itu kalah 1-3 kepada Indonesia pada perlawanan akhir.