Bapa didakwa rogol, amang seksual fizikal anak kandung

Iklan
Tertuduh berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

MELAKA - Bapa dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan merogol anak kandung, melakukan amang seksual fizikal, ugut bunuh dan melibas parang terhadap isterinya.

Tertuduh berusia 38 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Iklan
Iklan

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa merogol anak perempuan berumur 15 tahun yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang boleh di hukum penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.

Iklan

Dia yang memakai baju berwarna ungu turut berdepan pertuduhan melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga menyebabkannya cedera di lengan kiri.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman itu di bawah Seksyen 324 kanun sama dan dibacakan bersama Seksyen 326(a) akta sama, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh turut didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap isteri dan dua anak kandungnya, berusia 16 dan 18 tahun dengan mengacukan sebilah parang.

Dia juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak perempuannya dan memaksanya mengikat anak lelakinya berusia 18 tahun dengan maksud hendak menakutkan akan membunuh anak dalam kandungan anak perempuannya itu.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Alor Gajah antara Jun hingga Oktober tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa merupakan isteri dan dua anak kandung tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat sebarang rayuan bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sinar Harian pada 7 Februari lalu menyiarkan seorang buruh ditahan pada selepas disyaki merogol anak perempuannya berusia 16 tahun hingga melahirkan anak.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan di tepi jalan Kampung Kelemak, Alor Gajah susulan pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pegawai perubatan Hospital Melaka memeriksa mangsa yang menetap di Durian Tunggal pada Oktober tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas mangsa mendapati mangsa ketika itu sedang mengandung hampir lima bulan.