KOTA BHARU - Sebuah kereta Proton Persona yang dipercayai membawa muatan minyak petrol terbakar selepas terbabas dalam kejadian di Jalan Tanah Merah-Jeli pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Disagar Mani Mustafa berkata, bomba menerima panggilan pada jam 11.36 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Menurut beliau, enam pegawai dan anggota bergegas ke lokasi itu bagi memadam kereta yang sedang terbakar.
"Kita turut mendapatkan bantuan bekalan air daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah untuk operasi berkenaan," katanya pada Jumaat.
Bagaimanapun beliau memaklumkan, operasi pemadaman sukar dilakukan kerana disyaki ada muatan petrol dalam kenderaan terbabit dan terpaksa menggunakan pemadam buih bagi menghalang api yang sedang marak.
Jelas beliau, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Ketika kejadian juga, pemandu kenderaan difahamkan melarikan diri dari lokasi kereta yang terbakar.
"Anggota bomba mendapati tong berisi minyak petrol dimuatkan bukan sahaja di dalam kereta tetapi dalam bahagian bonet belakang," katanya.