SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) membidas dakwaan yang mengatakan menterinya, Mohamad Sabu memungkiri janji dengan memberikan pangkat kehormat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) kepada ahli politik.
Kementerian tersebut dalam satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pangkat yang diberikan kepada penaung JAKPAW itu adalah atas kapasiti kedudukan jawatan disandang yang melayakkan mereka diberi pangkat kehormat dan bukannya atas kapasiti parti politik.
"JAKPAW merupakan satu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pasukan sukarela iaitu Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).
"Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar/Ketua Menteri yang dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat).
"Malah pangkat kehormat ini turut diberikan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri dari parti pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa perjawatan Pengerusi JAKPAW pula hanya dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di mana pelantikan itu dibuat oleh Menteri Besar/Ketua Menteri/ Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat).
Katanya, kesemua perjawatan tauliah kehormat itu perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.
"Perjawatan ini boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.
"Justeru adalah tidak tepat dakwaan yang mengatakan bahawa pemberian pangkat kehormat ini disebabkan latar belakang politik,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui kenyataan di laman sosial Facebooknya semalam menyifatkan pendirian Mohamad bercanggah susulan tindakan menteri itu memberikan pangkat tentera kepada ahli politik.
Portal rasmi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaporkan penganjuran majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah yang disempurnakan oleh Mohamad di Penthouse, Wisma Pertahanan.
Majlis tersebut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat.