ALOR SETAR - Pertubuhan Peniaga-Peniaga Beras Kedah menyatakan kebimbangan berhubung cadangan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani menggantikan kategori beras putih tempatan dan import pada harga RM30 setiap 10 kilogram (kg).
Pengerusi Pertubuhan Peniaga-Peniaga Beras Kedah, Tan Swee Huat berkata, peluang harus diberikan untuk perbincangan terlebih dahulu selain mengambil kira kebimbangan pihak industri sebelum pelaksanaan dibuat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, jika harga beras putih tempatan disamakan dengan beras import, tetapi kos beras putih import begitu mahal di mana pemborong perlu melalui proses saringan, pembungkusan, bayaran pengangkutan, upah, perakaunan dan lain-lain, sudah pasti harga RM30 bagi 10 kg tidak dapat dijual.
Jelasnya, memandangkan pada masa ini terdapat kekurangan beras kira-kira 40 peratus di seluruh negara, mengakibatkan bekalan tidak mencukupi dan kekurangan beras import yang serius di pasaran boleh menyebabkan pembelian panik semula.
"Kami mengesyorkan bahawa jika dibenarkan, harga beras putih yang diimport hendaklah dibenarkan terapung bebas untuk mengekalkan bekalan dan memenuhi permintaan pasaran," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan bahawa Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Turut diumumkan, penetapan harga siling baharu untuk Beras Putih Malaysia Madani yang bermula Isnin depan melibatkan lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram RM3.50 selain beras 10kg pada harga RM30.