NEW YORK - Terdapat beberapa laporan mendakwa pemerintah Mesir sedang bersiap sedia untuk menghadapi gelombang 'tsunami' kemasukan penduduk Palestin dari Genting Gaza ke Semenanjung Sinai jika rejim Zionis meneruskan kempen serangan ganas di Rafah.
Kaherah dikatakan menyediakan sebuah kawasan sementara di sempadan Gaza dilengkapi beberapa kemudahan asas yang boleh menempatkan golongan tersebut.
Iklan
Iklan
The Washington Post berpusat di Amerika Syarikat (AS) menerusi laporan mereka pula menyatakan Mesir mengancam untuk menggantung perjanjian damai dengan Israel yang berusia empat dekad jika operasi ketenteraan di Rafah mencetuskan gelombang pelarian di sempadan negara itu.
Pada awal minggu lalu, Yayasan Sinai untuk Hak Asasi Manusia yang mengawasi Semenanjung Sinai mendakwa Kaherah sedang membina tembok sempadan konkrit bagi mengekang kemasukan penduduk Palestin.
Projek itu disahkan menerusi rakaman video yang dilihat sendiri oleh akhbar berkenaan.
Sumber di Kaherah menjelaskan ia merupakan pelan kontigensi jika mereka berdepan 'senario terburuk' akibat Perang Gaza.
Sementara itu, Mesir menafikan laporan tentang persediaan tersebut setelah ia berulang kali menolak pemindahan paksa penduduk Palestin ke wilayah mereka setelah ia turut dicadangkan pemimpin Israel. - Agensi