SHAH ALAM - Kerajaan Madani yakin ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan lebih kukuh antara empat hingga lima peratus pada tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dicapai sekiranya mematuhi sokongan asas kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam ekonomi serta Belanjawan Madani 2024.
"Kerajaan bertekad untuk terus mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun ini, sejajar dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
"Kita telah berjaya menjadikan defisit fiskal kepada 5 peratus daripada 5.6 peratus pada 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, ekonomi negara dilaporkan meningkat pada suku keempat tahun 2023 dengan mencatatkan pertambahan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak tiga peratus.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pertumbuhan bulanan KDNK, bulan Disember mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus, iaitu lebih rendah berbanding November (3.8 peratus) dan Oktober (3.9 peratus).
Justeru, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, rangka kerja Ekonomi Madani akan menggariskan kepentingan pembaharuan ekonomi negara bukan sahaja dalam menangani cabaran sistemik tetapi turut memberi tumpuan kepada bidang baharu pertumbuhan mampan dan daya tahan.
Ujarnya, Belanjawan 2024 menekankan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi.
"Penjimatan daripada langkah tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan rentan dengan meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
"Sementara itu, strategi dan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas akan memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi.
"Terutamanya dalam industri berteknologi tinggi, peralihan tenaga termasuk digital dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat," jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28