MARANG - Berbekalkan hanya barangan terpakai seperti tempat duduk kereta dan komputer lama, satu sudut ruangan di Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka di sini berubah menjadi simulator pesawat penerbangan yang pasti membuat sesiapa sahaja teruja melihatnya.
Simulator pesawat yang lengkap dengan aktiviti simulasi dan ujian penerbangan di sekolah itu juga melakar sejarah kerana ia adalah yang pertama seumpamanya untuk kategori sekolah rendah di Terengganu setakat ini.
Gabungan kreativiti, bakat semula jadi serta impian untuk melihat anak murid di 'sekolah kampung' itu menggapai cita-cita setinggi langit menyebabkan guru penyelaras Kelab Aeronautik sekolah itu rela berkorban masa dan tenaga untuk membina simulator itu pada tahun 2015.
Guru berkenaan, Syed Hasan Syukri Tuan Hadi berkata, keseluruhan set binaan simulator itu hanya RM5,000 sahaja berbanding kos sebenar yang dianggarkan RM20,000 sekiranya menggunakan peralatan baharu.
"Simulator ini secara tidak langsung berjaya meningkatkan prestasi murid dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) terutama yang berkaitan dunia penerbangan.
"Kebanyakan istilah dalam dunia penerbangan juga di dalam bahasa Inggeris, ini turut meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa utama dunia itu dan pada masa sama, kita turut memberi penekanan Islamik terhadap elemen tauhid," katanya kepada Bernama.
Ketika ini, terdapat 18 ahli kelab yang akan memakai uniform seperti juruterbang setiap kali perjumpaan semasa aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar sekolah dijalankan.
Terdapat dua pesawat kawalan jauh, lapan model pesawat sayap pegun dan tiga model helikopter dipamerkan di galeri itu malah pengunjung akan diberi penerangan mengenai kaedah pengendalian pesawat semasa pelepasan, navigasi dan pendaratan yang selamat.
Syed Hasan Syukri berkata, kelab itu turut mendapat khidmat nasihat teknikal daripada seorang juruterbang daripada Qatar Airways dan seorang jurutera simulator penerbangan daripada syarikat pengendali antarabangsa.
"Ahli kelab juga telah dibawa melawat ke beberapa lokasi berkaitan penerbangan antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, sekolah penerbangan di Melaka dan fasiliti penyelenggaraan pesawat MAS Engineering," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Gong Nangka, Mohamad Samsuri Omar berkata, idea penubuhan, konsep, kandungan sukatan dan aktiviti kelab itu diterajui oleh Syed Hasan Syukri serta beberapa guru lain.
"Kami di SK Gong Nangka sangat bertuah kerana mendapat komitmen terbaik daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa menyokong semua program sekolah serta mendapat kerjasama penuh daripada syarikat swasta dan komuniti setempat," katanya.
Kunjungan Bernama ke sekolah itu mendapati walaupun ramai ahli kelab itu masih belum pernah merasai pengalaman menaiki kapal terbang, simulator itu dapat memberi mereka keseronokan seperti berada di 'awan biru' bukan sekadar sebagai penumpang biasa malah mereka mampu menerbangkannya.
Seorang murid Tahun Enam, 'Kapten' Alya Damia Muhammad berkata, penyertaannya dalam Kelab Aeronautik itu memberinya kepuasan kerana dapat menambah pengetahuan am seperti teori, prinsip sains, komponen pesawat penerbangan serta pengalaman berharga dapat berada di dalam kokpit seperti pesawat sebenar.
"Kelab ini berjaya menarik minat saya untuk menjadi juruterbang apabila dewasa kelak dan saya berharap agar rakan di luar sana tidak ketinggalan menyertai Kelab Aeronautik sekiranya diberi peluang," katanya. - Bernama