Orang politik kena berubah henti sentimen perkauman

Iklan
Abu Hafiz (tengah) dan Muhammad Faizuddin bergandingan sebagai ahli panel pada program SinarLive bertajuk '2020: Sampai Bila Rasis?' hari ini.

SHAH ALAM - Orang politik perlu berubah sikap bagi memastikan isu perkauman yang semakin meruncing sekarang dapat dihentikan kerana mereka mempunyai pengaruh dan setiap tindak tanduk mereka menjadi ikutan rakyat.

Exco Agama Armada Bersatu Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, peranan ahli politik untuk menghentikan isu perkauman itu sangat besar kerana rakyat akan mengikut rentak orang politik yang kebanyakan mereka juga mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial sama seperti selebriti.

Iklan
Iklan

"Kata-kata ahli politik itu bagaikan ‘wahyu’ dan apabila dia kata sesuatu ia akan jadi pegangan satu pegangan dan akidah politik (kepada penyokong mereka).

"Sebab itu orang politik perlu dididik (agar) mempunyai tanggungjawab kerana setiap apa yang mereka lakukan, apa yang di’tweet’ dan ditulis (di media sosial) itu akan diikut rentaknya oleh rakyat dan netizen,” katanya pada program SinarLive: Bukan Cakap Kosong bertajuk '2020: Sampai Bila Rasis?' di sini hari ini.

Iklan

Program itu menggandingkan Abu Hafiz dan Penolong Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Muhammad Faizuddin Zai sebagai ahli panel.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, walau dari parti mana sekalipun tokoh politik itu sama ada dari Bersatu, Pas mahupun UMNO, setiap perkara yang dimuat naik mereka di laman sosial masing-masing akan mendapat perkongsian yang bukan sedikit dan ia memberi mudarat jika perkara yang dikongsi melangkaui batas-batas agama dan moral.

Iklan

Ekoran keadaan itu, katanya, pimpinan muda setiap parti di negara ini perlu berani menegur pemimpin-pemimpin senior yang memainkan isu perkauman kerana orang muda yang akan mewarisi negara ini pada masa akan datang.

"Yang kita wariskan negara ini puluh-puluh tahun akan datang adalah anak-anak muda dan kalau kita benarkan tokoh-tokoh senior politik memainkan isu ini, yang akan rugi adalah kita. Oleh yang demikian pimpinan muda perlulah berani untuk menegur pimpinan senior (tetapi) dengan bahasa yang lunak dan baik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faizuddin berkata, isu rasis tidak akan berakhir sekiranya situasi politik anak muda sebagai pewaris kepimpinan negara tidak berubah dan anak muda perlu keluar daripada kepompong politik lama kepada yang baharu.

"Rakyat mesti diutamakan dan barulah kepentingan politik masing-masing dibincangkan,” katanya

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam merayu pemimpin dan ahli politik di negara ini supaya tidak memainkan isu-isu sensitif termasuk isu perkauman yang boleh menggugat perpaduan dan mengancam keselamatan negara.

Beliau juga berharap agar ahli politik menggunakan kebijaksanaan, kesabaran dan berhemah dengan memenuhi prinsip demokrasi tanpa melakukan aktiviti hingga menyakiti hati orang lain seolah-olah mencabar pihak berkuasa.