TUMPAT - Barangan tembaga kini kembali popular terutama dalam kalangan generasi baharu berikutan nilainya yang semakin tinggi.
Pengumpul barangan itu, Mohd Zulhilmi Ramli, 33, dari Kampung Pak Kerau di sini mengakui mula mengumpul tembaga sejak tiga tahun lalu selepas jatuh cinta dengan keunikannya.
Anak kesembilan daripada 10 beradik itu mula meminati barangan tembaga selepas pergi ke rumah rakannya di Kampung Neting di sini dan melihat banyak koleksi yang sukar didapati termasuk kayu pembajak sawah.
Dia juga menganggap barangan tembaga digunakan suatu ketika dahulu merupakan khazanah istimewa yang semakin hilang dan mempunyai nilai estetika tersendiri.
"Walaupun wang untuk membeli tembaga tidak mencukupi, saya sukar menolak setiap barangan itu kerana tahu nilai dan keistimewaannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, ibunya, Zainab Sulaiman melarang minatnya itu memandangkan sebahagian gajinya dihabiskan dengan membeli barangan tembaga.
"Barang pertama yang menjadi koleksi saya ialah lampu gasolin yang dihadiahkan daripada seorang rakan ketika melawat di Terengganu," katanya
Kini koleksi tembaganya mencecah lebih 1,000 barangan termasuk acuan bahulu, acuan akok, peralatan memasak, periuk dan bekas pakaian.
"Paling istimewa dalam koleksi saya ialah periuk bertapak yang mungkin berusia lebih 100 tahun dan dipercayai pernah digunakan oleh kerabat diraja untuk menghidang makanan," katanya.
Dia yang bekerja kampung memberitahu, ada juga menerima peralatan yang kotor dan berkarat, namun mujur isterinya, Normimi Suhana Saari, 33, sentiasa memberi sokongan dan membantu membersihkan tembaga itu.
Kongsinya lagi, proses mencuci bergantung kepada keadaan karat dan kekotoran.
"Ada masanya kami menghantar koleksi untuk 'dicuci' ke Selangor demi mengekalkan keaslian warnanya.
"Kami juga menggunakan daun asam gelugur dan asam jawa untuk cucian secara tradisional dan tidak menggunakan asid untuk mengelakkan kerosakan pada tembaga dan menjaga kualitinya," katanya.
Jelasnya lagi, barangan tembaga lama tidak mudah rosak, lebih berkualiti dan tebal berbanding tembaga zaman moden.
Mohd Zulhilmi memberitahu, setiap hari ada peminat barangan tembaga termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang datang ke rumahnya untuk melihat atau membeli selepas mendapat maklumat di media sosial.
"Ada barangan yang saya jual berharga RM40 sehingga mencecah ribuan ringgit termasuk harga pasaran bagi sebuah kaki meja antik iaitu RM2,500," katanya.